KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah mengingatkan pemimpin PAS di Semenanjung supaya tidak mencampuri urusan politik Sabah dan Sarawak berikutan persetujuan kerajaan Persekutuan berhubung penambahan nisbah kerusi Parlimen di kedua-dua wilayah itu.
Beliau berkata, kenyataan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari pada Isnin lalu yang menyebut ‘jangan jatuh gaung bersama Anwar’ disifatkan memperkecil pemimpin Sabah dan Sarawak.
Masiung berkata, Sabah dan Sarawak mempunyai hak ke atas tuntutan nisbah kerusi Parlimen kerana ia memang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang tertulis dalam lipatan sejarah ketika pembentukan Malaysia.
“Tidak timbul siapa Perdana Menteri mengumumkan penambahan nisbah kerusi melibatkan pindahan Perlembagaan itu kerana blok Borneo sudah sekian lama menuntut hak tersebut menerusi MA63.
“Parti politik di Sabah termasuk pembangkang menghormati semua parti politik bertapak di Semenanjung termasuk PAS, namun tindakan pemimpin parti itu mencampuri urusan politik Borneo tidak boleh diterima,” katanya.
Masiung menegur Ahli Parlimen Pasir Mas itu supaya menjaga integriti parti beliau dan tidak bertindak menghulurkan ‘tangan ghaib’ sebagai penghasut dalam urusan politik Borneo.
ADUN Kuamut itu berkata, pemimpin Sabah dan Sarawak matang dalam membuat keputusan sendiri tanpa perlu campur tangan orang luar.
Katanya, sikap taksub dalam politik PAS tidak mendapat tempat di Sabah dan Sarawak kerana rakyat Borneo sudah terkenal dengan semangat perpaduan dan saling hormat-menghormati walaupun berlainan fahaman politik.
Masiung berkata, kelancangan Ahli Parlimen Pasir Mas itu mencabuli perpaduan politik Sabah dan Sarawak, sedangkan pemimpin kedua wilayah Borneo itu tidak pernah berbuat demikian kepada PAS. – Info X