Search

Lari masuk bakau, tinggal 850 liter petrol

September 19, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Individu dipercayai terbabit dalam penyelewengan petrol bertindak melarikan diri ke kawasan bakau dan meninggalkan dua bot bersama 850 liter bahan api itu dalam dua operasi berasingan, semalam.

Kedua-dua rampasan tanpa ‘tuan’ di perairan Kampung Halo dan Kampung Tobok Tobok itu kemudiannya diserahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna.

KPDN dalam kenyataan hari ini berkata, kes pertama membabitkan penemuan 300 liter petrol yang diisi dalam 12 gelen di dalam sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran di perairan Kampung Halo.

Katanya, sebuah enjin sangkut Yamaha Enduro berkuasa 40 kuasa kuda turut dirampas, manakala individu dipercayai terbabit melarikan diri ke kawasan bakau ketika pemeriksaan dijalankan.

“Dalam kes kedua, sebanyak 550 liter petrol yang diisi dalam 22 gelen ditemukan di dalam sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran di pinggir bakau Kampung Tobok Tobok.

“Individu dipercayai terbabit turut melarikan diri ke kawasan bakau dan meninggalkan bot bersama sebuah enjin sangkut Yamaha Enduro berkuasa 40 kuasa kuda,” katanya.

Menurut kenyataan itu, keseluruhan petrol yang dirampas dianggarkan bernilai RM3,714.50.

“KPDN Semporna membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan menerusi WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN,” katanya. – Info X