Search

Masuk rumah mahu baiki telefon, lelaki ditahan kes rogol

September 19, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Alasan mahu membantu membaiki telefon bimbit menyebabkan seorang lelaki dibenarkan masuk ke kediaman jirannya sebelum dipercayai merogol wanita berusia 19 tahun di Kampung Titingan, di sini, Selasa lalu.

Suspek yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu ditahan di kediamannya kira-kira jam 10 malam, Khamis lalu, susulan laporan dibuat mangsa.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, lelaki tempatan berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam selepas mangsa membenarkan suspek yang dikenalinya masuk ke rumah untuk membantu membaiki telefon bimbit.

“Suspek kemudian dipercayai membawa mangsa ke dalam bilik sebelum melakukan perbuatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, manakala siasatan lanjut masih dijalankan.

Dalam pada itu, beliau berkata polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak membenarkan individu masuk ke dalam rumah sesuka hati, walaupun mereka adalah jiran atau kenalan, khususnya ketika bersendirian.

“Pastikan keselamatan diri diutamakan dan elakkan berada bersendirian dengan individu yang boleh menimbulkan risiko.

“Sebarang kejadian atau perlakuan mencurigakan hendaklah segera dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X