Search

Remaja lelaki ditahan ceroboh, cabul pelancong China

September 20, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditahan selepas disyaki menceroboh dan mencabul pelancong wanita warga China di sebuah resort di Jalan Kamiri, di sini, awal pagi semalam.

Suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Semporna di kawasan resort berkenaan kira-kira jam 8 malam pada hari sama.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 3 pagi.

“Siasatan awal mendapati mangsa berusia 25 tahun sedang tidur sebelum tersedar dan mendapati seorang lelaki berada di dalam biliknya.

“Suspek dipercayai memegang tangan mangsa dan menanggalkan sebahagian pakaiannya sebelum berlaku pergelutan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian berjaya melarikan diri dan bersembunyi di kawasan semak berhampiran sebelum ditemukan seorang pekerja resort pada waktu pagi.

Katanya, ketika melarikan diri mangsa mendakwa telah ditarik rambut oleh suspek sehingga terjatuh.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah dan Seksyen 354 kanun sama kerana menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat belum disahkan kerana siasatan masih dijalankan,” katanya. – Info X