TAWAU: Sebuah kereta Nissan Fairlady dan kenderaan pacuan empat roda disita polis dalam Operasi Samseng Jalanan di beberapa lokasi, di sini, semalam.
Operasi bermula jam 10.30 malam hingga 2 pagi itu turut menyaksikan 14 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di T2 Jalan Apas, One Arena, Jalan Chong Thien Vun serta sekatan jalan raya di Batu 2, Jalan Apas.
Katanya, sebanyak 80 kenderaan diperiksa membabitkan 30 motosikal, 30 kereta, 18 kenderaan 4WD dan dua lori.
“Seramai 64 individu terdiri daripada 45 lelaki dan 19 wanita turut diperiksa sepanjang operasi.
“Antara kesalahan dikesan ialah tiada cermin sisi, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, pengubahsuaian ekzos, tiada lesen memandu kelas B2 dan gagal mempamerkan tanda ‘P’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rosdi berkata, tindakan turut dikenakan terhadap kereta yang menggunakan lampu selain warna putih, manakala sebuah 4WD didapati tidak sesuai digunakan.
Menurutnya, kedua-dua kenderaan disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan lanjut menerusi Operasi Extreme.
Katanya, empat pemilik kenderaan membabitkan sebuah kereta dan tiga motosikal turut diberikan nasihat bagi meningkatkan kesedaran mengenai pematuhan peraturan serta keselamatan jalan raya.
“Tiada tangkapan atau kejadian tidak diingini dilaporkan sepanjang operasi.
“Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi membendung kegiatan samseng jalanan dan memastikan pengguna mematuhi peraturan demi keselamatan semua pihak,” katanya. – Info X