BEAUFORT: Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri buah sawit di sebuah kebun milik orang lain di Kampung Darat, Menumbok, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, penahanan suspek dibuat hasil tindakan pantas anggota Balai Polis Menumbok susulan maklumat berkaitan kehilangan buah sawit di kebun berkenaan.
Menurutnya, pengadu sebelum ini memaklumkan kebun sawit miliknya kerap mengalami kehilangan buah sawit selain menyedari kehadiran seorang lelaki tidak dikenali di kawasan kebun bersama sebuah kenderaan yang mengandungi beberapa tandan buah sawit.
“Walaupun ketika itu tiada bukti kukuh untuk mengesahkan buah sawit berkenaan diambil dari kebun pengadu, maklumat itu membantu polis menjalankan tindakan susulan.
“Hasil tindakan anggota Balai Polis Menumbok, suspek berjaya dikesan sebelum ditahan,” katanya.
Beliau berkata, suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk menjalani saringan air kencing.
“Hasil saringan mendapati suspek positif methamphetamine.
“Suspek diserahkan kepada BSJND IPD Beaufort untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Katanya, polis turut meneruskan siasatan bagi melengkapkan siasatan berkaitan kes kecurian buah sawit berkenaan.
“PDRM menegaskan komitmen membanteras kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah, selain memastikan keselamatan masyarakat serta harta benda terus terpelihara,” katanya. – Info X