KOTA KINABALU: Dua kereta mengalami kerosakan pada bahagian bumbung selepas dihempap pokok tumbang di Jalan Tun Razak, hadapan Wisma Merdeka, di sini, pagi tadi.
Pokok Angsana berkenaan tumbang berhampiran lampu isyarat sebelum menghalang dua laluan jalan raya dan menghempap sebuah Perodua Axia serta Perodua Alza.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu, Mejar (PA) Aizex Junior Simon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Kereta berkenaan sedang bergerak menuju ke destinasi sebelum pokok tumbang berhampiran lampu isyarat.
“Bagaimanapun, kedua-dua kenderaan terbabit tidak menyebabkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang,” katanya.
Beliau berkata, setibanya di lokasi pada jam 7.13 pagi, anggota mendapati pokok tumbang menghalang laluan dan menghempap dua kenderaan.
“Anggota membuat penilaian di lokasi sebelum kerja pemotongan pokok dilakukan, terutama pada bahagian yang menghempap kedua-dua kenderaan bagi membolehkan kenderaan dialihkan.
“Kerja pemotongan dan pengalihan pokok kemudian diteruskan dengan bantuan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), menggunakan tiga gergaji rantai,” katanya.
Menurutnya, pokok berkenaan berjaya dialihkan sepenuhnya kira-kira jam 8.45 pagi dan laluan jalan raya dapat digunakan semula.
Katanya, kedua-dua kenderaan terbabit hanya mengalami kerosakan kemek pada bahagian bumbung dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Operasi itu membabitkan seorang pegawai dan empat anggota lain-lain pangkat termasuk pemandu dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu.
“Pasukan kemudian kembali ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Kinabalu pada jam 9 pagi selepas memastikan kerja pengalihan selesai dan laluan kembali selamat digunakan,” katanya. – Info X