KOTA KINABALU: Energy Commission of Sabah (ECoS) mempergiatkan penguatkuasaan terhadap penjualan kelengkapan elektrik dan perkakas gas yang tidak mempunyai label atau penandaan keselamatan diluluskan di Sabah.
Dalam operasi pada 17 September lalu, ECoS memeriksa empat premis di sekitar Kota Kinabalu yang disyaki menjual kelengkapan elektrik dan perkakas gas tanpa label atau penandaan keselamatan ditetapkan.
Operasi bersepadu itu membabitkan 22 pegawai ECoS dengan kerjasama empat pegawai Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai produk tidak mempunyai label atau penandaan keselamatan ditetapkan, termasuk mentol lampu, kabel elektrik, cerek elektrik, seterika elektrik dan dapur gas.
Semua produk terbabit disita untuk tindakan lanjut.
Mengikut Peraturan 107 Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024 (PPBE 2024), kelengkapan elektrik pengguna yang dikawal selia hendaklah mendapat kelulusan serta mempunyai label atau penandaan keselamatan ditetapkan ECoS sebelum dijual.
Kegagalan mematuhi peraturan berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 134 PPBE 2024.
Jika disabitkan, pesalah boleh didenda sehingga RM20,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi perkakas gas pula, Peraturan 117 Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 2023 (PPBG 2023) menetapkan setiap perkakas gas yang diluluskan hendaklah mempunyai penandaan atau pelabelan ditetapkan sebelum dijual.
Kegagalan mematuhi keperluan itu adalah suatu kesalahan di bawah subseksyen 62(2) Enakmen Bekalan Gas 2023 (EBG 2023).
Jika disabitkan, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000, termasuk denda tambahan bagi kesalahan yang berterusan selepas sabitan.
ECoS turut mengingatkan peniaga, pembekal, pengimport dan pengedar supaya memastikan semua kelengkapan elektrik serta perkakas gas yang dipasarkan mematuhi sepenuhnya keperluan keselamatan dan perundangan.
Pengguna pula dinasihatkan supaya memeriksa dan memastikan produk yang dibeli mempunyai label atau penandaan keselamatan yang sah.
ECoS berkata, pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan produk yang dipasarkan selamat digunakan, sekali gus melindungi keselamatan dan kepentingan pengguna di Sabah.-Info X