LAHAD DATU: “Kami sudah kahwin kampung.”
Itu alasan diberikan sepasang kekasih selepas dicekup berdua-duaan dalam sebuah bilik hotel ketika operasi penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di daerah ini, malam Isnin lalu.
Bagaimanapun, alasan lelaki berusia 28 tahun dan wanita berusia 19 tahun itu tidak dapat menyelamatkan mereka apabila semakan mendapati kedua-duanya sebenarnya tidak pernah melangsungkan perkahwinan.
Pasangan berkenaan dikesan ketika Ops Cegah Jenayah Syariah yang dijalankan penguat kuasa JHEAINS menerusi pemeriksaan di beberapa hotel sekitar Bandar Sri Perdana dan Pekan Lahad Datu.
Hasil pemeriksaan di sebuah bilik hotel menemukan lelaki dan wanita terbabit berada berdua-duaan sebelum mereka mendakwa sudah ‘berkahwin kampung’.
Semakan lanjut bagaimanapun mendapati dakwaan berkenaan tidak benar sebelum kedua-duanya ditahan untuk tindakan lanjut.
Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 84 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 (Sabah) kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM2,000 atau dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
Operasi itu diketuai Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JHEAINS, Ustaz Rahim Yahya Abd Rahman bersama 20 pegawai penguat kuasa JHEAINS Sabah. – Info X