Search

Tangkap ikan di kawasan larangan, bot pukat jerut bilis ditahan

September 23, 2026

Info X Reporters

LAHAD DATU: Sebuah bot nelayan pukat jerut bilis ditahan selepas dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan di perairan Kunak, semalam.

Bot berkenaan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira jam 12.35 tengah hari pada kedudukan 0.8 batu nautika timur laut Pulau Burong, Madai.

Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 42 tahun bersama tiga awak-awak warga Filipina berusia antara 21 hingga 41 tahun.

Katanya, kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot berkenaan disyaki melanggar syarat sah lesen apabila menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulfikhar berkata, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan pengusaha dan nelayan mematuhi syarat lesen serta peraturan perikanan ditetapkan.

Katanya, tindakan itu juga penting bagi memelihara sumber perikanan dan keselamatan perairan negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Lahad Datu menerusi WhatsApp 016-930 5727 atau talian kecemasan 999. – Info X