Search

LELAKI KURANG SIUMAN DISANGKA CUBA TERJUN BANGUNAN

February 4, 2023

admin

KOTA KINABALU: Orang awam sekitar kawasan Kampung Air, dekat sini, gempar ekoran tindakan seorang lelaki dipercayai kurang siuman berdiri di tepi tingkap sebuah bangunan dalam kejadian, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, satu laporan kecemasan dibuat orang awam bagi mendapatkan bantuan untuk menyelamatkan lelaki yang dianggarkan berusia 40-an berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada jam 8.30 malam sebelum sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati tiada cubaan bunuh diri sebaliknya mangsa hanya berdiri di tepi tingkap bangunan berkenaan.

“Pasukan Bomba terus bertindak membawa mangsa turun ke tingkat bawah untuk keselamatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.48 malam. – Info X