Search

CHRISTINA : KENAIKAN YURAN KEMASUKAN TIDAK JEJAS KEDATANGAN PELANCONG

February 4, 2023

admin

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew memaklumkan kenaikan yuran atau caj kemasukan membabitkan kawasan pelancongan di negeri ini tidak akan menjejaskan kedatangan pelancong.

Christina berkata, beliau yakin keindahan flora dan fauna yang terdapat di Sabah tetap menjadi faktor utama kedatangan pelancongan ke negeri berkenaan. “Jangan kira kenaikan yuran daripada peratus, misalnya daripada RM5 meningkat kepada RM15, kenaikan hanya RM10.

“Bagaimanapun, pelancong yang sudah membeli tiket sebelum 1 Januari 2023, caj yuran kemasukan mereka adalah sama seperti sebelumnya.

“Namun apa sahaja pakej pelancongan yang dibeli selepas 1 Januari, pelancong hendaklah membayar mengikuti kadar caj baharu yang diumumkan.

“Hal ini dilaksanakan selepas mempertimbangkan permintaan pemain industri pelancongan yang beroperasi di negeri ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal Tahun Baharu Cina Persatuan Sumber Harapan Sabah, di Dewan Hakka, di sini, malam tadi.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Turut hadir Presiden Persatuan Sumber Harapan Sabah, Josephine Hadikusumo, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud; Konsul Jeneral Republik Indonesia di Sabah, Rafael Walangitan; Konsul Jeneral, Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Huang Shi Fang dan Ketua Pejabat Konsular Jepun di Kota Kinabalu, Shiho Kako. – Info X