Search

PERTIMBANG SEMULA KEPUTUSAN POTONG PERUNTUKAN AHLI PARLIMEN, KATA MUNIRAH

February 4, 2023

admin

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan semula keputusan beliau berkaitan pemotongan peruntukan bagi ahli parlimen khususnya membabitkan kebajikan rakyat.

Isnaraissah Munirah berkata, beliau menegaskan dirinya menyokong penuh usaha kerajaan mengawal  kewangan negara melalui perbelanjaan berhemah dan menyelesaikan isu governans, rasuah dan salah guna kuasa.

Bagaimanapun katanya, beliau langsung tidak bersetuju peruntukan kebajikan rakyat yang selama ini dijadikan platform untuk membela nasib rakyat dikorbankan hanya disebabkan untuk mencapai matlamat ditetapkan kerajaan.

“Pemotongan peruntukan pembangunan ini bukanlah permulaan yang baik selepas mengambil kira saiz keluasan parlimen yang jauh lebih besar di Sabah dan Sarawak, kedaifan dan kemiskinan rakyatnya selain ditambah pembangunan kedua-dua buah wilayah ini yang jauh ketinggalan berbanding Semenanjung.

“Malahan pendekatan ini dilihat tidak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di mana Kerajaan Perpaduan bertekad merapatkan jurang pembangunan dan ekonomi di antara wilayah di dalam Malaysia.

“Mengambil kira semua faktor ini, kerajaan sepatutnya mengekalkan peruntukan sedia ada malah sepatutnya menambah dan bukannya dipotong atau dikurangkan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Isnaraissah Munirah menyatakan pendirian dirinya tetap sama seperti sebelum ini iaitu peruntukan yang dipertanggungjawabkan buat ahli parlimen adalah untuk disalurkan kepada rakyat dan bukan digunakan bagi tujuan peribadi.

“Ia sebaliknya perlu disalurkan semata-mata untuk menyelesaikan permasalahan rakyat dengan kadar segera.

“Berbeza dengan bantuan-bantuan semasa yang disediakan oleh kerajaan, peruntukan ahli parlimen ini diuruskan dengan kurang karenah birokrasi yang menyulitkan.

“Oleh itu, realitinya rakyat lebih cenderung memohon bantuan daripada ahli parlimen melalui peruntukan khas yang  lebih cepat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wirawati Parti Warisan terbabit mencadangkan agar satu perjumpaan dengan semua ahli parlimen serta agensi yang terlibat diadakan disamping mengutamakan penambahbaikan tadbir urus, tata kelola dan integriti berbanding langkah pemotongan peruntukan.

Terdahulu,  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya semalam mengesahkan peruntukan pembangunan untuk ahli Parlimen bagi tahun ini dikurangkan dan bakal diberikan secara berperingkat sebagai sebahagian daripada langkah mengawal kewangan negara. – Info X