KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan kompaun ke atas sebuah restoran di kawasan Foh Sang ekoran mempamerkan tanda harga tidak lengkap selain tanpa menyatakan caj tambahan bagi makanan dijual.
Tindakan itu diambil susulan satu aduan berkaitan harga makanan mahal tular di media sosial pada 3 Februari lalu.
Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, susulan aduan itu, pihaknya terus menjalankan operasi ‘Op Samar’ bagi pemeriksaan dan siasatan di premis tersebut.
“Sewaktu pemeriksaan dijalankan, dua anggota yang menyamar sebagai orang awam membuat pembelian terhadap makanan dan minuman mengikut aduan diterima.
“Hasil pemeriksaan dan siasatan dijalankan mendapati tanda harga di restoran berkenaan tidak lengkap dan tidak menyatakan caj tambahan bagi makanan yang ingin ditambah oleh pelanggan.
“Selain itu, pemeriksaan juga mendapati restoran juga gagal meletakkan tanda harga bagi dua jenis minuman tin jenama Malta dan Anglia yang dijual di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Georgie berkata, sebagai tindakan lanjut, restoran berkenaan terus dikenakan kompaun sebanyak RM200.

Katanya, tindakan diambil mengikut kesalahan mengikut Per. 5 PKHAP, Sub Per. 2(1) (PHBB&CBP) 2022, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kerana gagal meletakkan tanda harga barangan yang dijual.
“Dalam pada itu, restoran berkenaan juga dinasihati supaya mengemaskini senarai harga makanan dan minuman yang mereka tawarkan supaya lebih jelas.
“Selain itu, mereka juga digalakkan supaya menambah dan mempamerkan senarai harga makanan dalam bahasa melayu,” katanya.
Georgie berkata, pemantauan lanjut akan terus dijalankan dari semasa ke semasa terhadap restoran berkenaan bagi memastikan peniaga sentiasa patuh kepada peraturan yang ditetapkan.
Katanya, KPDN Sabah juga ingin mengingatkan kepada semua peniaga supaya sentiasa patuh terhadap undang-undang yang dikuatkuasakan.
“Mana-mana peniaga yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
“Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, pesalah individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.
“Bagi syarikat pula, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.
Mengulas lanjut, Georgie berkata, bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga atau senarai harga ke atas barangan yang dijual, setiap individu boleh didenda sehingga RM50,000 dan penjara dua tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM25,000.
“Manakala untuk syarikat, boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000,” katanya. – Info X