KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) kekal dengan pendirian untuk terus memperjuangkan hak Sabah, termasuk tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri ini selagi perkara itu belum ditunaikan Persekutuan.
Pemangku Presidennya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata perkara itu adalah antara perjuangan PBS di bawah MA63 sejak penubuhan parti itu pada 1985 bagi memastikan Sabah mendapat hak yang sewajarnya dari Persekutuan.
“PBS tidak akan meninggalkan perjuangan asalnya. Hak Sabah tetap menjadi teras perjuangan kita dan daripada 29 perkara yang dibincangkan melalui platform rasmi MA63, sebanyak 13 sudah diselesaikan sepenuhnya.
“Tapi, selagi masih ada perkara yang belum selesai, perjuangan kita belum selesai. Tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah juga mesti terus diperjuangkan melalui kerangka Perlembagaan dan proses perundingan yang tegas.
“Hak Sabah bukan hadiah, ia adalah adalah hak yang sudah dipersetujui ketika Malaysia dibentuk,” katanya pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke-41, di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, PBS akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Persekutuan apabila kerjasama membawa manfaat kepada Sabah, namun berani menyatakan pendirian apabila kepentingan dan hak Sabah perlu dipertahankan.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata gabungan berkenaan akan mengemukakan cadangan kerusi tambahan Parlimen bagi Sabah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas semua cadangan parti komponennya dikumpul.
“Kita akan menyerahkan kepada SPR dan SPR yang akan membuat keputusan mengenai kerusi tambahan Parlimen bagi Sabah yang akan dibuat nanti,” katanya.
Beliau ditanya mengenai cadangan PBS berhubung kerusi tambahan Parlimen Sabah dan Sarawak bagi mencapai nisbah satu pertiga seperti dipersetujui di bawah tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Bagi PBS, katanya senarai kerusi baharu atau kawasan Parlimen yang boleh dipecahkan sedang diteliti dan akan dikumpul Setiausaha Agung parti.
“Kita akan hantar kepada GRS senarai mana-mana kerusi Parlimen yang kita fikir boleh dipecahka dan selepas dibincang dengan GRS barulah dihantar ke SPR dan SPR yang akan memutuskan nanti.
“Setakat ini memang sudah ada cadangan dan ia sedang dikumpul oleh Setiausaha Agung PBS untuk disampaikan kepada GRS. Tapi tiada contoh, kita tengoklah nanti,” katanya. – Info X