TONGOD: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) diminta memasang sistem pengesan gempa bumi di semua kawasan berisiko, termasuk di daerah ini susulan gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 pada skala Richter di Kuamut pada jam 5.32 pagi tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata walaupun gempa bumi itu tidak menimbulkan suasana panik di kalangan penduduk tetapi pemasangan sensor Seismik Automatik di kawasan berisiko di Tongod perlu disegerakan berikutan kebimbangan berlaku gempa susulan yang lebih besar.
Katanya, MetMalayisa wajar memasang pengesan awal gempa bumi di daerah itu kerana Kuamut pernah digegarkan gempa bermagnitud 3.6 skala Richter di kedalaman 280 kilometer pada 17 Julai tahun ini.
Masiung berkata, beliau sudah mengarahkan Pegawai Daerah Tongod, Hadzlan Jablee untuk mengenal pasti kawasan terkesan, termasuk kemungkinan berlaku keretakan pada infrastruktur awam.
Bagaimanapun setakat ini katanya, belum ada laporan penuh diterima dari Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kerja Raya(JKR) dan polis.
“Biasanya kejadian gempa akan berulang dan MetMalaysia harus mengambil tanggungjawab segera memasang sensor pengesan awal gempa bumi di Kuamut sebelum bencana itu berulang dengan risiko yang besar,” kata Masiung.
Pada 5.32 pagi tadi satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 pada skala Richter berlaku di Kuamut, Kinabatangan.
Menurut MetMalaysia pusat gempa dikesan pada koordibat 5.1 darjah utara dan 116.8 darjah timur.
Gempa bumi itu berlaku di kedalaman 118 kilometer barat laut dari Tarakan, Indonesia dan 34 kilometer di barat daya Tongod. – Info X