KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan perlembagaan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk membuka ruang inisiatif baharu memperkukuh organisasi parti dan membangunkan barisan kepimpinan generasi akan datang.
Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki berkata, antara lain pindaan itu membolehkan semua bahagian PBS menubuhkan Gerakan Belia dan Beliawanis (GBB) sebagai platform tersusun golongan muda berusia 18 hingga 25 tahun melibatkan diri dalam aktiviti politik yang sihat, membina dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, penubuhan GBB tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai penambahan struktur organisasi parti, sebaliknya merupakan satu pelaburan untuk masa depan PBS.
“Ini memberi ruang kepada anak-anak muda kita untuk belajar, menyumbang idea, menimba pengalaman serta memahami perjuangan dan prinsip parti dari peringkat akar umbi.
“Kita mahu ahli muda kita memahami DNA PBS, menghargai sejarah perjuangan parti serta membina integriti, keberanian dan rasa tanggungjawab yang diperlukan untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Kali Ke-41 di Hakka Hall, Tanjung Lipat, di sini, pada Sabtu.
Julita berkata, mekanisme pelaksanaan GBB akan diperincikan oleh kepimpinan baharu Ahli Majlis Tertinggi yang bakal dipilih oleh perwakilan pada persidangan itu.
Katanya, inisiatif itu amat bertepatan ketika PBS memasuki fasa pembaharuan kepimpinan, dengan penekanan yang lebih besar terhadap usaha menyediakan ruang kepada pemimpin muda untuk membangunkan keupayaan dan seterusnya memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam parti.
“Masa depan PBS bukan hanya bergantung kepada usaha kita mempertahankan legasi yang telah dibina selama lebih empat dekad, tetapi juga kepada keupayaan kita menyediakan generasi baharu untuk meneruskan legasi tersebut.
“Kita perlu memberikan mereka ruang untuk mengambil bahagian, belajar dan memimpin, pada masa yang sama memastikan prinsip serta nilai teras PBS terus menjadi pegangan,” katanya.
Julita berkata, pindaan Perlembagaan tersebut mencerminkan usaha berterusan PBS untuk memperkukuh organisasi parti di samping menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik dan sosial semasa.
Beliau menambah, platform GBB yang baharu itu akan membolehkan PBS mendekati golongan muda secara lebih tersusun serta menggalakkan penglibatan mereka dalam politik melalui aktiviti yang membina dan bermakna. – Info X