Search

Formula perwakilan satu pertiga Sabah, Sarawak perlu diperhalusi – Nancy

September 26, 2026

BERNAMA

KUCHING: Formula berdasarkan nisbah satu pertiga bagi perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat perlu diperincikan terlebih dahulu sebelum sebarang jumlah penambahan kerusi Parlimen ditentukan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata isu berkenaan telah disuarakan oleh beliau bersama-sama beberapa pemimpin Sarawak, termasuk dalam Kabinet, namun tumpuan sebelum ini lebih diberikan kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Bercakap mengenai perkara itu dari segi kerusi (Parlimen), saya (menyuarakannya) bersama-sama Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam Kabinet.

“Cara formula satu pertiga itu diwujudkan perlu dibincangkan bersama-sama dari segi perundangannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Motivasi dan Bimbingan Peluang Pengajian serta Pameran Akedamik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan Bako, di sini, pada Sabtu.

Nancy yang juga Naib Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata perbincangan lanjut mengenai perkara itu perlu dibuat antara Premier Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan Kerajaan Persekutuan bagi menentukan kaedah serta ukuran yang sesuai.

Pada 11 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan pada prinsipnya bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak melebihi kadar semasa, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata keputusan itu turut melibatkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan peningkatan penyertaan Ahli Parlimen dari kedua-dua negeri berkenaan.–BERNAMA