KOTA KINABALU: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus memperkukuh kerjasama dengan pengamal media di Sabah bagi memastikan perkembangan serta perubahan sistem percukaian dapat difahami dengan tepat dan jelas oleh masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata peranan media amat penting dalam membantu masyarakat memahami perubahan landskap percukaian, khususnya ketika sistem percukaian bergerak ke arah pendigitalan, automasi dan penggunaan data yang lebih meluas.
“Media bukan sekadar menyampaikan berita, malah turut berperanan menjelaskan perubahan, merungkai kekeliruan serta membina kepercayaan masyarakat berdasarkan maklumat yang tepat,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi HASiL Bersama Media Negeri Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Beliau berkata kerjasama strategik dengan media penting bagi memastikan maklumat berkaitan percukaian dapat disampaikan secara berkesan kepada masyarakat, sekali gus membantu meningkatkan kefahaman dan pematuhan secara sukarela.
Sementara itu, Abu Tariq berkata Oktober ini telah diangkat sebagai Bulan HASiL dengan tema “Lapor Sukarela, Tanggungjawab Bersama”.
Beliau berkata antara inisiatif utama sepanjang bulan tersebut ialah Jelajah Literasi HASiL, yang bertujuan mendekatkan pendidikan percukaian kepada masyarakat di lokasi tumpuan, selain membuka ruang kepada orang ramai untuk bertanya dan mendapatkan penjelasan secara langsung berkaitan percukaian.
“HASiL berharap jalinan strategik bersama media di Sabah akan terus diperkukuh sebagai rakan penyampai maklumat yang berwibawa, sekali gus meningkatkan kefahaman, keyakinan dan pematuhan percukaian secara sukarela dalam kalangan masyarakat demi pembangunan negara yang mampan,” katanya.
Beliau berkata sebarang pertanyaan dan maklum balas boleh disalurkan kepada HASiL Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 atau +603-8911 1000 bagi panggilan dari luar negara, selain melalui HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL.–BERNAMA