KOTA KINABALU: Empat lelaki maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Sepanggar berhampiran Taman Jaya Diri, Sepanggar, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, tiga mangsa dikenal pasti sebagai Ryanniel Robin, 23; Nicholas Thomas, 24, dan Axelord Nigel Alexander, 21; Junior Allyson Julius, 20.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, siasatan awal mendapati Perodua Viva dipandu lelaki berusia 23 tahun bersama tiga penumpang dalam perjalanan dari arah Sepanggar menuju ke Indah Permai.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebuah lori Isuzu NPR dan Perodua Aruz.
“Akibat pelanggaran itu, lori berkenaan terdorong ke hadapan lalu menghimpit sebuah van Nissan Urvan sebelum van berkenaan melanggar Proton X50.
“Keempat-empat mangsa termasuk pemandu tersepit di dalam Perodua Viva sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba.

“Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Likas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Syed Lot berkata, mayat kesemua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Royston di talian 016-3130153 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hannis Moktar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.37 pagi.
Katanya, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.55 pagi. – Info X