Search

JURAGAN BAWA TONG GAS TANPA PERMIT DITAHAN

February 5, 2023

admin

TAWAU: Seorang juragan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ekoran membawa muatan tong gas petroleum cecair (LPG) berisi tanpa permit di kedudukan 0.7 batu nautika utara muara Sungai Melaya, di sini, semalam.

Juragan lelaki warga tempatan berusia 22 tahun berkenaan ditahan kira-kira jam 6 petang oleh anggota Maritim Malaysia Zon Tawau yang menjalankan Ops Sejahtera dan Ops Pluto Timur di kawasan terbabit.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, sebuah bot kargo dalam keadaan mencurigakan bergerak laju dari perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik ketika pasukan bertugas menjalankan rondaan.

“Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan mendapati seorang lelaki tempatan bertindak selaku juragan bot membawa muatan 17 tong gas LPG 14 kilogram berisi yang dibalut dengan guni.

“Proses dokumentasi kemudiannya mendapati juragan terbabit gagal mengemukakan permit serta lesen yang sah berkaitan barang kawalan yang dibawa.

“Juragan, bot serta muatan ditahan dan di bawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM28,000. – Info X