Search

SMJ 2.0 tumpu pembangunan modal insan – KM

September 28, 2026

Info X Reporters

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pembangunan modal insan terus diberikan penekanan dalam fasa baharu pembangunan negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan anak-anak Sabah memiliki ilmu, kemahiran dan keupayaan untuk menghadapi keperluan masa depan, selaras dengan Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat sebagai Teras Kedua dalam Pelan Pembangunan SMJ.

“Kerajaan negeri Sabah sentiasa memberi perhatian serius terhadap pembangunan pendidikan dan modal insan. Ini kerana masa depan Sabah tidak hanya bergantung kepada kekayaan sumber alam, pembangunan fizikal atau kemajuan ekonomi semata-mata. Kekuatan sebenar Sabah terletak pada rakyatnya.

“Kita memerlukan generasi yang berilmu, berkemahiran, berintegriti, celik teknologi dan digital, mampu berfikir secara kritis dan kreatif serta mempunyai nilai kemanusiaan dan jati diri yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Jubli Perak sempena 25 Tahun SMK Sri Nangka Tuaran, di sini, pada Ahad.

Hajiji berkata, pendidikan juga perlu bergerak seiring dengan perkembangan dunia dengan memperkukuh bidang STEM, teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), kemahiran serta pembangunan bakat.

Katanya, kerajaan negeri turut memperkukuh pendigitalan pendidikan menerusi Sistem TPNS Smart Application yang membolehkan permohonan bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), yang dilancarkan pada 2022, dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya.

“Kerajaan melalui Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) telah memperuntukkan sebanyak RM155 juta untuk tahun ini, iaitu meningkat berlipat kali ganda daripada RM50 juta pada tahun 2020.

“Sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, sebanyak 14 inisiatif berkaitan pendidikan telah diperkenalkan antaranya bantuan tunai pendaftaran IPT atau BUDI; bantuan komputer atau BAIK selain bantuan tiket penerbangan kepada pelajar-pelajar kita di Semenanjung, Sarawak dan bantuan kepada pelajar kolej negeri ini untuk balik kampung. Semua inisiatif ini kita teruskan sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata, apa yang dilaksanakan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan yang terus kekal menjadi keutamaan kerana sektor berkenaan adalah asas penting dalam melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

“Namun, dalam kita mengejar kemajuan teknologi, jangan sesekali kita melupakan nilai dan akhlak. Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja cerdik akalnya dan tinggi kemahirannya, tetapi berakhlak, berintegriti dan berjiwa besar untuk membangunkan Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, pendidikan ialah tanggungjawab bersama dan tidak boleh diletakkan di bahu guru serta pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan ibu bapa, kerajaan, komuniti dan sektor swasta.

“Kerjasama padu inilah yang akan turut membantu segala usaha kerajaan untuk meningkatkan pembangunan pendidikan di negeri ini,” katanya.

Mengenai sambutan Jubli Perak SMK Sri Nangka, Hajiji berkata, 25 tahun bukanlah suatu tempoh yang singkat dan dalam tempoh itu sekolah berkenaan telah melalui pelbagai perubahan, cabaran serta proses pembangunan, selain menyaksikan ribuan anak muda melangkah masuk sebagai pelajar dan keluar membawa ilmu, pengalaman serta cita-cita.

“Ada yang menjadi penjawat awam, pendidik, usahawan, tenaga profesional dan menyumbang dalam pelbagai bidang kepada masyarakat serta negeri Sabah,” katanya. – Info X