Search

Hujan berterusan, beberapa laluan Sepanggar, Telipok dinaiki air

September 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Hujan berterusan sejak tengah hari menyebabkan beberapa laluan sekitar Sepanggar dan Telipok dinaiki air sehingga menjejaskan pergerakan kenderaan, hari ini.

Beberapa rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan air melimpah ke jalan raya termasuk di laluan dari Sepanggar menuju ke Sabah Ports serta kawasan di hadapan Indah Permai.

Keadaan itu menyebabkan kenderaan terpaksa bergerak perlahan ketika meredah air, manakala pengguna jalan raya dilihat lebih berhati-hati melalui kawasan terbabit.

Situasi sama turut berlaku di Telipok apabila laluan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telipok berhampiran University Utama Condominium (UUC) turut dinaiki air.

Rakaman video di lokasi menunjukkan beberapa kenderaan meredah air yang memenuhi sebahagian laluan ketika hujan masih berterusan.

Di Jalan Politeknik, Sepanggar pula, sebuah kereta dipercayai terkandas ketika melalui laluan yang dinaiki air.

Rakaman yang tular menunjukkan seorang ibu bersama anaknya cuba menolak kereta berkenaan sebelum beberapa orang awam yang berada berhampiran tampil membantu.

Mereka dilihat meredah air dan bersama-sama menolak kenderaan itu keluar dari kawasan berkenaan, sekali gus mencuri perhatian pengguna media sosial.

Rakaman berkenaan antara gambaran situasi yang dihadapi pengguna jalan raya apabila hujan berterusan menyebabkan beberapa lokasi sekitar Sepanggar dan Telipok dinaiki air.

Sementara itu, Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu, Mejar (PA) Aizex Junior Simon berkata, APM kini menjalankan pemantauan di beberapa kawasan hotspot banjir susulan hujan berterusan sejak tengah hari.

Katanya, APM turut bersiap sedia dengan kekuatan anggota serta aset bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan keadaan cuaca tidak menentu.

“Orang awam dinasihatkan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri ketika berhadapan situasi cuaca tidak menentu.

“Sekiranya berlaku sebarang kecemasan, orang ramai disarankan menghubungi talian kecemasan 999,” katanya. – Info X