Search

Pusat Kerjasama WHO bagi Malaria Zoonotik di UMS pencapaian penting bagi Sabah

September 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pembukaan Pusat Kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Malaria Zoonotik di Universiti Malaysia Sabah (UMS) disifatkan sebagai satu pencapaian penting bagi Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pembukaan pusat itu mengiktiraf kepakaran dan sumbangan UMS dalam penyelidikan malaria, khususnya kajian mengenai Plasmodium knowlesi.

“Ia adalah satu pencapaian yang bukan sahaja membawa pengiktirafan kepada UMS, tetapi juga kepada Sabah dan Malaysia,” katanya pada majlis perasmian pusat itu di Galeri Majlis Bangunan Canselori UMS, di sini, pada Isnin.

Ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Ketua Menteri berkata Malaysia mencatat kemajuan yang amat memberangsangkan dalam kawalan dan penghapusan malaria, termasuk berjaya memutuskan penularan tempatan parasit malaria manusia.

“Namun, Plasmodium knowlesi membawa cabaran yang berbeza. Penularannya melibatkan interaksi kompleks antara manusia, kera, nyamuk dan alam sekitar.

“Cabaran ini amat relevan kepada Sabah. Kekayaan biodiversiti dan interaksi rapat antara masyarakat, hidupan liar dan persekitaran hutan bermakna kita perlu melihat melangkaui pendekatan tradisional dalam kawalan malaria,” katanya.

Hajiji berkata usaha menangani malaria zoonotik memerlukan pengawasan, penyelidikan dan kawalan vektor, di samping pemahaman mengenai hidupan liar dan perubahan alam sekitar.

“Paling penting, ia memerlukan kerjasama merentas sektor. Di sinilah pendekatan Satu Kesihatan atau One Health (satu rangka kerja bersepadu dan kolaboratif yang mengiktiraf saling kebergantungan antara kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan dan alam sekitar) amat penting.

“Sebagai Pro-Canselor UMS, saya berbangga bahawa penubuhan Pusat ini menghimpunkan kekuatan UMS, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta rakan kerjasama nasional dan antarabangsa.

“Kita mesti memastikan hasil penyelidikan diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal dan tindakan kesihatan awam, di samping melabur dalam pembangunan penyelidik muda dan profesional kesihatan yang akan meneruskan usaha ini pada masa hadapan,” katanya.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri Sabah memberikan sokongan padu kepada inisiatif yang memajukan penyelidikan, inovasi dan kerjasama antarabangsa.

“Pusat ini menunjukkan bagaimana sebuah institusi yang berpangkalan di Sabah mampu menyumbang kepada agenda kesihatan awam antarabangsa. Ia juga boleh membantu meletakkan Sabah sebagai platform serantau bagi kerjasama dalam malaria zoonotik dan pendekatan Satu Kesihatan.

“Pengalaman Sabah boleh menawarkan pengajaran kepada negara-negara yang berdepan cabaran sama, sebagaimana kita juga boleh belajar daripada rakan serantau dan antarabangsa. Pertukaran ilmu dan kepakaran ini akan memperkukuh kita semua.

“Tahniah kepada UMS, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Pusat Penyelidikan Perubatan dan Kesihatan Borneo atas pencapaian penting ini,” katanya. – Info X