KOTA BELUD: Sabah berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran empat juta pelawat tahun ini, selepas mencatat kira-kira 2.6 juta ketibaan setakat Ogos lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata dengan prestasi yang lebih kukuh pada suku keempat, beliau yakin sasaran empat juta itu masih boleh dicapai.
“Sabah menerima kira-kira 1.1 juta ketibaan antarabangsa dan 1.5 juta pelawat domestik setakat ini. Jadi kita yakin sasaran empat juta pelancong pada tahun ini mampu dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian JSK Mantanani Island Resort, di sini, pada Selasa.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri kekal komited untuk memastikan pertumbuhan sektor pelancongan yang berdaya saing, inklusif dan mampan.
Beliau mengulangi Pelan Induk Pelancongan Sabah akan membantu menentukan hala tuju yang jelas, menangani cabaran seperti kesalinghubungan penerbangan, melindungi alam sekitar dan memperluas penyertaan masyarakat tempatan.
“Untuk mencapai matlamat ini, kerjasama erat antara sektor awam dan swasta amat diperlukan. Sabah mempunyai kekuatan luar biasa, daripada pulau dan pantai, hutan hujan, gunung-ganang, hidupan liar, budaya hinggalah kepada sajian makanan.
“Dengan perancangan yang baik, pengurusan profesional dan pemasaran yang berkesan, kita boleh berkongsi kekuatan ini dengan lebih ramai pelawat sambil melindungi alam sekitar dan menghormati kepentingan masyarakat tempatan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pembukaan resort seperti JSK Mantanani Island Resort yang melibatkan pelaburan RM160 juta adalah selaras dengan sasaran negeri untuk menarik lebih ramai pelawat dan menyediakan kemudahan pelancongan bertaraf tinggi.
Terletak di perairan Kota Belud, resort itu mempunyai 84 vila serta kemudahan mesra alam dan berada pada kedudukan yang baik untuk menarik pelancong yang mencari pengalaman autentik.
“Saya juga mengalu-alukan kerjasama resort ini dengan Wyndham Hotels & Resorts. Hubungannya dengan jenama hospitaliti yang diiktiraf di peringkat global boleh memperkenalkan Mantanani kepada pasaran yang lebih luas serta menyokong standard penginapan dan perkhidmatan yang tinggi,” katanya.
Ketua Menteri berkata manfaat pembangunan pelancongan seharusnya melangkaui resort itu sendiri kerana sektor pelancongan boleh mewujudkan peluang pekerjaan, membina kemahiran serta membuka peluang kepada usahawan tempatan, pembekal, penyedia perkhidmatan pengangkutan dan perniagaan lain.
“Saya berharap kejayaan resort ini akan turut dikongsi bersama masyarakat Kota Belud dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Katanya, memastikan masyarakat tempatan turut mendapat manfaat daripada pembangunan sedemikian adalah perkara utama dalam pertumbuhan pelancongan mampan, yang menjadi antara teras agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kita mesti mengalu-alukan kedatangan pelawat sambil melindungi warisan semula jadi dan budaya kita supaya generasi akan datang terus dapat menikmati Sabah,” katanya.
Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri juga sedang memperhalusi strategi untuk memperkukuh daya tarikan dan daya tahan Sabah sebagai sebuah destinasi sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Sabah 2027.
Tahun Melawat Sabah 2027 bukan sekadar kempen pelancongan, tetapi menjadi agenda bersama untuk seluruh negeri.
“Kejayaannya bergantung kepada komitmen, kerjasama dan penyertaan aktif semua pihak, termasuk kerajaan, pemain industri pelancongan, sektor swasta, masyarakat tempatan dan rakyat Sabah.
“Kita semua mempunyai peranan dalam mencapai matlamat Tahun Melawat Sabah 2027. Dengan bekerjasama, kita boleh memperkukuh kedudukan Sabah sebagaindestinasi yang berdaya saing, mampan dan bertaraf dunia untuk pelawat dari dalam dan luar negara,” katanya. – Info X