PUTRAJAYA: Negara memerlukan generasi muda yang mempunyai kekuatan semangat, kefahaman dan ilmu untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab besar dalam memacu pembangunan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata bakat dan ciri kepimpinan belia seperti itu amat penting dalam mendepani pelbagai cabaran serta dinamika tadbir urus negara yang bersifat kompleks dan rencam.
“Bila saudara (peserta) duduk di sini (dalam perkhidmatan awam), saudara akan lihat bagaimana rencam, bagaimana rumit permasalahan yang kita hadapi.
“Pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai wilayah, pelbagai kelompok yang menuntut sebaik mungkin daripada kita. Tetapi insya-Allah, kita dapat lakukan dengan sebaiknya,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Penyerahan Peserta Program MADANI Fellowship 2026 di sini, pada Rabu.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta barisan menteri Kabinet.
Sebanyak 76 belia berusia antara 23 hingga 29 tahun terpilih menyertai program empat bulan itu, dengan penempatan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan bagi memberikan pendedahan secara langsung mengenai dasar serta sistem pentadbiran negara.
Program MADANI Fellowship, yang dijenamakan semula daripada Felo Perdana susulan keputusan Jemaah Menteri pada 26 Jun lepas, ialah inisiatif pembangunan kepimpinan belia berkonsepkan mentor menti bersama barisan kepimpinan tertinggi negara dalam memahami selok-belok tadbir urus awam.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata pendedahan secara terus kepada jentera pentadbiran berupaya memberikan kefahaman holistik berhubung landskap tadbir urus yang perlu mengimbangi kepelbagaian latar belakang masyarakat, wilayah serta tuntutan rakyat.
“Anak-anak akan berjumpa dengan mentor-mentor dalam kalangan menteri, yang tentunya akan sangat sibuk. Tetapi saya percaya anda boleh, tapi yang penting itu ialah peluang dan kesempatan supaya anak-anak boleh bersama melihat program kementerian, jabatan, perbahasan di Parlimen,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata walaupun kebanyakan peserta ditugaskan di kementerian khusus, pemahaman mereka terhadap jentera pentadbiran tidak seharusnya terhad kepada kementerian berkenaan semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi skop yang lebih meluas.
Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri mencadangkan penambahbaikan dalam pelaksanaan inisiatif berkenaan dengan memberikan ruang kepada peserta mempelajari skop tugas di kementerian lain sepanjang tempoh empat bulan program berlangsung.
“Walaupun tugasan di kementerian masing-masing, mungkin kita boleh berikan ruang satu hari tertentu untuk mereka berpindah sekadar mengenali, dan mengetahui perjalanan di kementerian lain supaya kefahaman mereka lebih komprehensif,” kata beliau.
Selain itu, Anwar turut menggesa peserta MADANI Fellowship agar menguasai ilmu, meneliti sesuatu isu secara mendalam serta memanfaatkan sepenuhnya peluang pendedahan yang diberikan sepanjang program.
“Jadi, manfaatkan sumber yang ada, gunakan masa anda sepenuhnya, belajar, menimba ilmu, berinteraksi dengan seramai mungkin dan pelajari melalui pengalaman praktikal dilakukan atau sedang diusahakan oleh mentor anda,” kata beliau.
Dalam pada itu, Anwar menyifatkan sokongan padu barisan Jemaah Menteri terhadap program berkenaan sebagai bukti jelas komitmen serta keutamaan berterusan kerajaan dalam agenda pembangunan kepimpinan belia negara.
“Itu menunjukkan kepentingan dan perhatian yang kami berikan kepada anak-anak kita, golongan muda serta bakal pemimpin,” kata beliau.–BERNAMA