PETALING JAYA: Harimau Malaya dijadualkan menghadapi dua perlawanan persahabatan Tier 1 menentang China di Guangzhou pada 14 dan 17 Nov ini sebagai sebahagian daripada persiapan pasukan kebangsaan untuk meningkatkan kedudukan ranking dunia.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ab Ghani Hassan berkata dua perlawanan berkenaan penting dalam usaha Harimau Malaya mengumpul mata ranking selain memburu kedudukan balang undian lebih baik bagi kelayakan Piala Dunia 2030 dan Piala Asia 2032.
“Ini juga persiapan yang kita harus lakukan untuk Harimau Malaya menghadapi perlawanan tersebut, Insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Penggal 2025-2029 di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Rabu.
Ab Ghani berkata FAM kini memberi perhatian terhadap perancangan perlawanan antarabangsa Tier 1 kerana setiap perlawanan mampu menyumbang mata penting dalam usaha memperbaiki kedudukan ranking pasukan kebangsaan.
Harimau Malaya kini beraksi pada Piala ASEAN FIFA 2026 di Indonesia, yang membuka tirai Khamis lepas.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe memulakan aksi Kumpulan A Divisyen 1 dengan langkah kanan apabila menewaskan Bangladesh 3-0 sebelum seri tanpa jaringan berdepan Indonesia 0-0 pada Isnin lepas.
Harimau Malaya akan menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada Khamis ini. –BERNAMA