KINABATANGAN: Bangkai seekor gajah yang dipercayai hanyut dibawa arus ditemukan di Sungai Kinabatangan, di sini, petang hari ini.
Bangkai haiwan berkenaan ditemukan penduduk kira-kira jam 4.30 petang selepas dipercayai hanyut ke hilir sungai dari kawasan Lot 5 menuju Sukau.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, pihaknya mengesyaki bangkai berkenaan adalah gajah yang dilaporkan sakit beberapa minggu lalu.
Katanya, JHL sebelum ini ada menerima maklumat secara tidak rasmi mengenai seekor gajah yang sakit, namun tindakan ketika itu tidak dapat dilakukan kerana tidak dapat dipastikan kepada pihak mana aduan berkenaan disalurkan.
“Kita ada dimaklumkan secara tidak rasmi tetapi tidak dapat mengambil tindakan kerana tidak pasti aduan dibuat kepada pihak mana.
“Bangkai ini disyaki adalah gajah yang dilaporkan sakit beberapa minggu lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Soffian berkata, keadaan bangkai serta maklumat lanjut hanya dapat dikenal pasti selepas anggota JHL tiba di lokasi dan menjalankan pemeriksaan, esok.
Menurutnya, usaha untuk ke lokasi ketika ini berdepan kekangan berikutan masalah kekurangan bot.
“Maklumat mengenai keadaan bangkai tidak dapat dipastikan sehinggalah anggota sampai ke lokasi itu,” katanya. – Info X