Search

Lori ‘sapu’ dua kereta, rempuh stor rumah

September 30, 2026

Info X Reporters

TENOM: Sebuah lori membawa muatan batu pasir hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum ‘menyapu’ dua kereta di halaman rumah penduduk dan merempuh sebuah stor di Jalan Batu 34, Tenom-Kemabong-Kuala Tomani, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Perodua Alza dan Proton Saga yang diletakkan di halaman rumah berkenaan mengalami kerosakan, manakala struktur stor turut rosak akibat rempuhan.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu lelaki berusia 38 tahun dari arah Kemabong menuju Kuala Tomani untuk menghantar batu pasir.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan lurus menuruni bukit sebelum lori terbabas ke bahu kiri jalan.

“Lori itu kemudian merempuh dua kenderaan yang diletakkan di halaman rumah penduduk sebelum melanggar stor barangan di lokasi berkenaan.

“Bagaimanapun, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kejadian hanya membabitkan kerosakan kenderaan serta harta benda,” katanya.

Azmir berkata, ketiga-tiga pemandu dan pemilik kenderaan terbabit diarahkan hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Tenom untuk membuat laporan kemalangan.

Katanya, cuaca ketika kejadian dilaporkan baik dengan keadaan jalan lurus menuruni bukit, rata dan berturap.

“Orang ramai khususnya pemandu kenderaan berat dinasihatkan supaya sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mengawal kelajuan terutama ketika melalui laluan berbukit dan menurun bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59,” katanya. – Info X