PENAMPANG: Seorang wanita tempatan ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sebuah kondominium di Kota Kinabalu, susulan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah.
Wanita berusia 30 tahun itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang sebelum ujian saringan awal air kencing dijalankan kira-kira jam 9.30 malam, semalam.
Hasil ujian mendapati wanita terbabit positif dadah jenis benzodiazepine (Benzo).
Difahamkan, tangkapan wanita terbabit adalah susulan siasatan kes seorang lelaki berperwatakan wanita yang dipercayai aktif mengedar serbuk ekstasi di pusat hiburan sekitar Penampang dan Kota Kinabalu.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Katanya, ujian saringan air kencing yang dilakukan menggunakan alat ujian PDRM mendapati wanita berkenaan positif Benzo.
“Suspek kemudian ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan akan dipohon reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Polis turut menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sumber dadah berkenaan selain sampel berkaitan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya.
Terdahulu, pada 25 September lalu, JSJN Sabah menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di Jalan Pintas, Penampang, kira-kira jam 10.40 malam.
Dalam tangkapan itu, polis merampas lapan paket serbuk disyaki ekstasi seberat 190.94 gram dan enam pil disyaki ekstasi seberat 2.80 gram dengan keseluruhan dadah dianggarkan bernilai RM6,400.
Turut dirampas sebuah telefon bimbit iPhone 16 Pro Max dan sebuah kereta BYD berwarna putih.
Menurut Alhusin sebelum ini, lelaki berkenaan dipercayai terbabit membekalkan serbuk ekstasi, ketamin dan minuman campuran dadah dikenali sebagai ‘jus’ untuk pasaran pusat hiburan sekitar Penampang dan Kota Kinabalu.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Info X