TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki mengamuk dan melontar batu ke arah kawasan perumahan pekerja sebuah ladang di Merotai Kecil, di sini, semalam.
Suspek berusia 48 tahun itu turut dipercayai sering melakukan gangguan di kawasan berkenaan sehingga menimbulkan ketakutan dan kebimbangan dalam kalangan pekerja serta keluarga mereka.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, polis menerima laporan selepas pengadu menerima aduan daripada pekerja ladang berhubung tindakan suspek.
Katanya, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota Balai Polis Bombalai bersama Polis Bantuan kemudian menjalankan operasi mengesan suspek.
“Suspek berjaya ditahan di sebuah pondok taman permainan di kawasan perumahan pekerja Ladang Merotai Kecil.
“Hasil siasatan awal turut mendapati suspek berada di negara ini tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut, manakala tiada rampasan direkodkan ketika tangkapan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mengancam keselamatan, menimbulkan ketakutan atau mengganggu ketenteraman awam.
“Sebarang kejadian mencurigakan atau perbuatan menyalahi undang-undang hendaklah segera dilaporkan kepada polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya. – Info X