KENINGAU: Seorang lelaki maut selepas lori simen dipandunya terbabas sebelum terbalik di bahu Jalan Kampung Bariawa Ulu, di sini, pagi tadi.
Mangsa warga tempatan berusia 40 tahun dipercayai terperangkap di dalam lori berkenaan sebelum ditemukan pasukan bomba selepas kenderaan berat itu diangkat menggunakan kren.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Penguasa Bomba Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.02 pagi.
Katanya, seramai 10 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi sebelum tiba lapan minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah lori simen terbabas sendiri sebelum terbalik di bahu jalan.
“Berdasarkan maklumat orang awam, terdapat mangsa dipercayai terperangkap di dalam lori terbabit sebelum operasi mengesan dan mengeluarkannya dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kren tiba di lokasi pada jam 10.34 pagi dan kerja mengangkat lori simen itu dilakukan bagi memudahkan operasi mengeluarkan mangsa.

“Mangsa berjaya dikesan di dalam lori pada jam 10.38 pagi sebelum pemeriksaan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan lelaki berkenaan sudah meninggal dunia.
“Operasi mengeluarkan mangsa selesai sebelum pemeriksaan akhir dilakukan bagi memastikan lokasi selamat,” katanya.
Operasi yang turut dibantu polis dan KKM ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.58 pagi. – Info X