Search

Konsert Israel Houghton wajar diteruskan jika semua syarat dipenuhi – Shafie

October 3, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Konsert artis Kristian Amerika Syarikat, Israel Houghton dan kumpulannya, wajar dibenarkan berlangsung di Sabah tertakluk kepada kelulusan serta peraturan yang ditetapkan, kata Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, Sabah sejak sekian lama membina kekuatan melalui kehidupan masyarakat berbilang kaum dan agama yang saling menghormati, termasuk kebebasan setiap komuniti mengamalkan kepercayaan masing-masing secara aman.

“Sabah sentiasa mendapat kekuatan daripada rakyatnya yang hidup bersama merentasi kaum dan agama. Ini bukan sekadar slogan, tetapi cara bandar, sekolah, pasar dan keluarga kita hidup sejak beberapa generasi.

“Setiap komuniti mesti mempunyai kebebasan mengamalkan agama masing-masing secara aman dengan menghormati satu sama lain,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Shafie berkata, sokongan terhadap kebebasan penganut Kristian di Sabah untuk menghadiri perhimpunan berkenaan tidak bermakna pihaknya menyokong setiap pandangan peribadi atau politik yang dipegang artis terbabit.

Katanya, pihak berkuasa perlu menguatkuasakan peraturan secara adil dan sekiranya terdapat halangan dari segi undang-undang, perkara itu perlu dinyatakan dengan jelas.

“Sebarang kebimbangan keselamatan yang tulen perlu ditangani dengan sewajarnya, dengan polis mengambil langkah sesuai untuk mengekalkan keamanan serta melindungi mereka yang menghadiri acara itu,” katanya.

Beliau berkata, bantahan semata-mata tidak seharusnya menjadi penentu sama ada sesuatu perhimpunan keagamaan boleh diadakan atau sebaliknya.

Menurutnya, setiap pihak mempunyai hak untuk tidak bersetuju dan menyuarakan bantahan secara aman, manakala mereka yang mahu menghadiri acara berkenaan juga berhak mendapat layanan serta penghormatan yang adil.

Shafie berkata, masyarakat Islam, Kristian, Buddha dan penganut agama lain sudah berkongsi kehidupan di Sabah sejak beberapa generasi.

“Penghormatan terhadap kepercayaan satu sama lain termasuk kebebasan untuk berkumpul, berdoa, menyanyi dan menganjurkan program keagamaan selagi ia dilaksanakan mengikut undang-undang,” katanya.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa berkaitan memudahkan penganjuran acara itu selepas semua keperluan ditetapkan dipenuhi, selain meminta semua pihak mengamalkan sikap sederhana dan saling menghormati.

“Kita mesti menjunjung undang-undang, melindungi amalan keagamaan secara aman dan memelihara keharmonian yang selama ini menjadi kekuatan Sabah,” katanya.

Sebelum ini, polis Sabah memaklumkan akan menasihatkan kerajaan negeri supaya menangguhkan konsert berkenaan sekiranya permohonan rasmi dikemukakan, susulan reaksi awam dan sensitiviti masyarakat ketika ini. Polis juga memaklumkan dua laporan diterima berhubung acara itu.

Media turut melaporkan beberapa pihak mengemukakan bantahan terhadap penganjuran konsert berkenaan, manakala pihak lain menyeru supaya keputusan dibuat berdasarkan pematuhan undang-undang, aspek keselamatan dan keharmonian masyarakat.-Info X