KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Tuaran Bypass berhampiran pusingan U SMK Bandaraya, di sini, tengah malam tadi.
Mangsa, Lee Eman, 44, dari Kampung Tambalugu, Tuaran, tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.55 tengah malam.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum operasi mengeluarkannya dilakukan menggunakan peralatan khas.

Mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan akibat kecederaan parah dialaminya.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan lanjut.

Pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu turut berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kemalangan.
Maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa. – Info X