TELUPID: Kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang dilaporkan di Taviu Spring, Kampung Taupos, di sini, malam tadi.
Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Rantey Fred, berkata bilik kawalan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.35 malam sebelum menghantar dua anggota ke lokasi kejadian.
“Pasukan tiba di lokasi kira-kira sejam kemudian dan mendapati sebatang pokok tumbang sekali gus menghalang laluan akibat tanah runtuh.

“Anggota kita menggunakan gergaji untuk memotong batang pokok dan mengalihkannya ke tempat sesuai,” katanya di sini, hari ini.
Rantey berkata, seramai lapan termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kakitangan syarikat pembinaan Lebuhraya Pan Borneo turut terbabit dalam operasi itu.
Katanya, operasi tamat pada jam 3.55 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi dan jalan boleh dilalui semula. – Info X