Oleh Rohana Nasrah
KOTA KINABALU: Golongan dewasa yang tercicir daripada pendidikan formal terus diberi peluang menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) menerusi Program Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Pengarah KEMAS Sabah Ahmad Fakhrul Azman Muhammad Radzi berkata lebih 500 peserta mengikuti program itu pada tahun ini menerusi 25 kelas yang dilaksanakan di kawasan pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman Sabah membabitkan Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Keningau, Tenom, Nabawan, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Kalabakan.
Beliau berkata program itu memberikan tumpuan kepada individu berumur 15 hingga 65 tahun yang masih belum menguasai kemahiran asas 3M, selain turut terbuka kepada golongan di luar julat usia tersebut mengikut keperluan.
“Program PLF adalah antara usaha membasmi buta huruf dalam kalangan masyarakat di kawasan berkenaan, terutama mereka yang tercicir pendidikan formal pada peringkat awal serta tidak dapat membaca, menulis dan mengira,” katanya kepada Bernama.
Kaedah mengenal pasti peserta di sesebuah kawasan ialah melalui kerjasama dengan pemimpin masyarakat termasuk ketua kampung serta guru KEMAS di lapangan bagi mendapat maklumat tentang golongan yang masih memerlukan pendidikan literasi, katanya.
Peserta akan menjalani ujian pra sebelum mengikuti kelas dalam program PLF bagi mengenal pasti tahap penguasaan awal mereka dalam kemahiran membaca, menulis dan mengira, katanya.
Ujian pasca pula, katanya, akan dijalankan selepas tamat pembelajaran bagi mengukur perkembangan serta peningkatan penguasaan peserta, dengan lebih 70 peratus peserta direkodkan mencapai tahap cemerlang.
Beliau berkata peserta yang masih belum menguasai kemahiran 3M sepenuhnya boleh mengikuti pengulangan pembelajaran bagi memastikan mereka mencapai tahap yang diperlukan.
Berhubung tempoh pembelajaran, Ahmad Fakhrul berkata kelas PLF hakiki berlangsung selama setahun dan dikendalikan oleh pemaju masyarakat PLF yang dilantik KEMAS sebagai tenaga pengajar terlatih di kawasan sasaran.
Bagi kelas yang dijalankan oleh tenaga pengajar tambahan di kawasan memerlukan pula, program itu berlangsung selama enam bulan dengan kekerapan tiga sesi seminggu, katanya.
Sebagai penghargaan dan suntikan semangat kepada peserta, beliau berkata majlis graduasi mengikut kelas dan daerah akan diadakan bagi meraikan mereka yang berjaya menamatkan sesi pembelajaran.
Sebanyak 375 peserta daripada 25 kelas terlibat dalam majlis tersebut pada tahun ini yang dilaksanakan mengikut kelompok serta daerah masing-masing, katanya.
“Peserta yang tamat belajar akan diberi sijil sebagai penghargaan dan suntikan semangat untuk terus belajar kerana kita tidak tahu mungkin selepas ini mereka berminat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Selain usaha memastikan celik huruf, tenaga pengajar KEMAS turut memberikan pendedahan kepada peserta tentang kemahiran hidup menerusi penghasilan produk seperti kraf tangan, keropok lekor dan rempeyek serta aspek keusahawanan berasaskan keperluan setempat, kata Ahmad Fakhrul.
“Kita mahu peserta mengaplikasikan kemahiran asas 3M dalam keusahawanan secara kecil-kecilan supaya secara tidak langsung mereka dapat menjana pendapatan,” katanya.
Seiring dengan kepesatan teknologi, beliau berkata peserta program PLF turut diberi pendedahan kepada kemahiran digital dalam kelas yang sama bagi membantu mereka mengikuti perkembangan semasa, sekali gus mengurangkan jurang digital.
Peserta dibimbing menggunakan telefon pintar untuk urusan harian seperti membuat janji temu klinik menerusi aplikasi MySejahtera dan pembayaran bil, selain mempromosikan produk jualan secara dalam talian, katanya.
“Usaha membanteras buta huruf perlu dilaksanakan secara berterusan dan mendapat sokongan semua pihak supaya tiada lagi rakyat, khususnya di Sabah tercicir daripada pendidikan,” katanya.
“Kita tidak mahu mereka mudah ditipu dalam urusan seharian hanya kerana kekangan literasi, sebaliknya perlu dibantu sehingga mereka mampu berdikari dan menjalani kehidupan dengan lebih yakin,” kata Ahmad Fakhrul.–BERNAMA