Search

Cuba lari, lelaki dicekup bersama komponen motosikal dan senjata

October 4, 2026

Info X Reporters

PUTATAN: Tindakan seorang lelaki cuba melarikan diri selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan mengundang padah apabila dia ditahan polis di daerah ini, awal pagi tadi.

Pemeriksaan terhadap suspek warga tempatan berusia 35 tahun itu kemudian membawa kepada penemuan beberapa komponen motosikal disyaki dicuri, selain senjata berjadual dan peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, suspek ditahan anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Putatan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan.

“Suspek dikatakan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota polis, namun berjaya ditangkap.

“Pemeriksaan lanjut menemui beberapa peralatan dan komponen motosikal yang disyaki dicuri serta senjata berjadual dan peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah,” menurut kenyataan itu.

Katanya lagi, semua barangan berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 511 Kanun Keseksaan berkaitan cubaan melakukan sesuatu kesalahan,” katanya.

Sementara itu, Polis turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan segera menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan. – Info X