KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) tidak pernah melelong kenderaan yang disita akibat kesalahan parkir, meskipun undang-undang kecil berkenaan membenarkannya tertakluk kepada syarat dan prosedur.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, lelongan setakat ini hanya melibatkan kenderaan buruk yang terbiar dan menjadi buangan bagi menangani masalah kebersihan, keselamatan serta penggunaan ruang awam.
Beliau berkata, tindakan menunda kenderaan dilaksanakan DBKK sebagai sebahagian penguatkuasaan parkir bagi memastikan jalan raya dan laluan pejalan kaki bebas daripada halangan, selain menjaga keselamatan serta kepentingan awam.
“Parkir berganda dan tindakan menghalang lalu lintas menjejaskan pengguna lain serta menyebabkan kesesakan. Kawasan yang sering menerima aduan termasuk Pasar Besar Kota Kinabalu, Anjung Kinabalu, Sinsuran dan kawasan pasar malam SAFMA.
“Kompaun sahaja tidak dapat mengatasi halangan dengan segera apabila kenderaan ditinggalkan tanpa pemandu. Sebelum penundaan, anggota penguat kuasa memberikan amaran melalui siren dan pengumuman supaya kenderaan dialihkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sabin berkata, penundaan hanya dilaksanakan sebagai langkah terakhir sekiranya arahan berkenaan tidak dipatuhi bagi membolehkan laluan dibuka semula.
“Kemudahan parkir di pusat bandar secara keseluruhannya mencukupi dengan kira-kira 20,000 petak disediakan, termasuk 4,005 petak parkir awam serta kemudahan di beberapa lokasi lain.
“Antaranya KK Plaza dengan 452 petak, Menara Jubili (276), The Shore (700), Wisma Merdeka (750), Warisan Square (500) dan Oceanus (800), manakala kadar parkir di KK Plaza dan Menara Jubili adalah RM1 sejam,” katanya.
Dalam pada itu, Sabin berkata, rekod DBKK mendapati sebahagian pemilik kenderaan yang ditunda mempunyai kompaun terdahulu yang masih belum diselesaikan.
Katanya, dalam sesetengah kes, jumlah itu mencecah 200 kompaun dengan nilai terkumpul sehingga RM40,000, menunjukkan terdapat kesalahan berulang dan tunggakan yang terkumpul.
“Pemilik diminta segera menghubungi Jabatan Penguatkuasaan DBKK untuk menguruskan tuntutan kenderaan. Permohonan pembayaran secara ansuran dan rayuan jumlah kompaun terkumpul yang tinggi boleh dipertimbangkan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai menggunakan petak parkir yang sah dan merancang perjalanan, selain tidak menjadikan kesukaran mendapatkan parkir berhampiran destinasi sebagai alasan untuk menghalang laluan atau melanggar peraturan.
Katanya, DBKK akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara profesional, adil dan konsisten bagi memastikan peraturan parkir di Kota Kinabalu dipatuhi demi keselamatan serta keselesaan semua pengguna. – Info X