KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum melanggar penghadang jalan dan tercampak ke dalam parit sedalam kira-kira lima meter di Jalan Tuaran berhampiran Taman Dah Yeh Villa, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa berusia 37 tahun yang parah dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 2.31 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 1 pagi ketika mangsa menunggang motosikal Formica Rossa 150 dari arah Karamunsing menuju ke Inanam.
Katanya, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan akibat laju sebelum terbabas ke kiri jalan.
“Motosikal kemudian melanggar penghadang jalan di sebelah kiri menyebabkan mangsa tercampak ke dalam parit sedalam kira-kira lima meter.
“Motosikal mangsa pula tercampak dan berada di atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrudin berkata, mangsa dibawa ke HQE II untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 2.31 pagi.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Royston Ubak di talian 016-3130153 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Shahrudin turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan cermat dan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
Terdahulu, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas yang tiba di lokasi mengangkat mangsa yang ketika itu tidak sedarkan diri dari dalam parit menggunakan pengusung sebelum mangsa diberikan rawatan awal dan dihantar ke HQE II. – Info X