KOTA KINABALU: Pusat Rawatan Jantung Sabah, Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) melakar pencapaian bersejarah berikutan kejayaan sulung menjalankan prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar (leadless pacemaker) Aveir VR dari syarikat Abbott, iaitu yang pertama di Malaysia Timur.
Berdasarkan perkongsian di Facebook HQE II, kejayaan itu menyusul selepas hospital berkenaan diiktiraf secara rasmi sebagai salah satu daripada tiga pusat bertauliah di seluruh Malaysia yang mempunyai pakar perubatan sah untuk menjalankan prosedur kardiologi berteknologi tinggi pada 10 September lalu.
Katanya, kejayaan prosedur itu diketuai Pakar Perunding Kanan Kardiologi Datuk Dr Liew Houng Bang dan Pakar Kardiologi, Dr Foo Jhi Hui bersama seluruh warga Jabatan Kardiologi HQE II.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Datuk Dr Liew Houng Bang (Pakar Perunding Kanan Kardiolog), Dr Foo Jhi Hui (Pakar Kardiologi), serta seluruh warga Jabatan Kardiologi HQE II atas kejayaan sulung menjalankan prosedur pemasangan perentak jantung tanpa wayar (leadless pacemaker) Aveir VR daripada syarikat Abbott yang PERTAMA di Malaysia Timur!
“Penghargaan istimewa dan terima kasih juga ditujukan kepada Dr Saravanan Krishinan (Pakar Perunding Kanan Kardiologi dan Elektrofisiologi) atas bimbingan dan khidmat nasihat proktor yang luar biasa sepanjang prosedur implan ini berlangsung,” kata perkongsian Facebook HQE II.
Katanya, teknologi Aveir VR begitu istimewa kerana sangat kecil dengan saiz mikro yang jauh lebih kecil daripada bateri AAA dan menawarkan ketahanan bateri terbaik dalam industri.
Selain itu, teknologi berkenaan juga memberi kesan invasif minimal kerana dimasukkan terus ke dalam jantung tanpa sebarang insisi (potongan) pada dada pesakit dan tanpa wayar transvenous.

“Pemulihan cepat: Prosedur yang lebih selamat, mengurangkan risiko komplikasi dan memberikan kualiti hidup yang jauh lebih baik untuk pesakit,” katanya.
HQE II berkata, kejayaan berimpak tinggi itu adalah hasil kolaborasi erat antara Pusat Rawatan Jantung Sabah dan pasukan Abbott Cardiac Rhythm Management, sekali gus membuka lembaran baharu bagi teknologi perubatan invasif minimal di Borneo.
“Satu pencapaian yang amat membanggakan bagi seluruh pasukan elektrofisiologi kardiologi di rantau ini. Demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat di rantau Borneo, khususnya di Sabah,” katanya. – Info X