Search

Lapan cedera termasuk lima parah nahas tiga kenderaan

October 7, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Lapan lelaki cedera termasuk lima parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dalam kejadian di Jalan Andus, di sini, pagi ini.

Kemalangan membabitkan Perodua Bezza, Isuzu D Max dan sebuah motosikal dengan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun antara mangsa yang cedera parah.

Empat mangsa parah berusia 15 hingga 48 tahun menaiki Perodua Bezza, manakala seorang lagi adalah penunggang motosikal berusia 33 tahun.

Tiga lelaki berusia 36 hingga 50 tahun yang menaiki Isuzu D Max pula dilaporkan cedera ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.24 pagi.

Katanya, seramai 10 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) kemudian digerakkan ke lokasi.

“Berdasarkan maklumat awal, kemalangan berlaku ketika Perodua Bezza membuat pusingan U sebelum bertembung dengan dua kenderaan lain.

“Semua lapan mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba sebelum diberikan rawatan awal di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rony berkata, mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan EMRS serta ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

“Operasi yang turut dibantu APM, PDRM dan KKM tamat pada jam 8.13 pagi selepas pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” katanya. – Info X