Search

PKMB alu-alukan kehadiran dua doktor baharu di Hospital Keningau

October 7, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB) menyambut baik kehadiran dua Pegawai Perubatan baharu yang mula berkhidmat di Hospital Keningau, di sini.

Pengerusinya, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata kehadiran Dr Muhammad Zuhalli bin Ziauddin dan Dr Nur Liyana Syairah binti Rosli amat dialu-alukan, khususnya bagi menambah tenaga perubatan untuk memenuhi keperluan penduduk Keningau dan kawasan sekitarnya.

Katanya, kehadiran mereka diyakini dapat membantu memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di daerah ini.

“Syukur Alhamdulillah, akhirnya ada juga rezeki rakyat Keningau dengan kehadiran dua orang doktor baharu di Hospital Keningau. Kita amat mengalu-alukan kedatangan mereka dan berharap kehadiran ini dapat membantu memperkukuhkan lagi perkhidmatan kesihatan di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, tambahan tenaga perubatan itu amat bermakna kepada masyarakat, terutama dalam memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dapat terus dipertingkatkan.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan selamat datang dan selamat berkhidmat kepada kedua-dua doktor berkenaan serta berharap mereka dapat melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi, ikhlas dan profesional.

“Kepada Dr Muhammad Zuhalli dan Dr Nur Liyana Syairah, selamat datang ke Keningau dan selamat berkhidmat kepada masyarakat. Semoga doktor berdua sentiasa diberikan kesihatan, kekuatan dan kesabaran dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Yazid menyeru masyarakat Keningau supaya terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada doktor, jururawat serta seluruh warga Hospital Keningau yang sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Keningau berharap pertambahan tenaga perubatan itu menjadi sebahagian daripada usaha berterusan meningkatkan akses dan mutu perkhidmatan kesihatan di daerah ini, selain berharap Keningau terus mendapat perhatian dari segi penambahan tenaga kesihatan pada masa akan datang.

Sebelum ini, isu doktor tidak hadir melapor diri hangat diperkatakan di Sabah dan ia dilihat antara punca masalah kekurangan doktor yang tidak berkesudahan di negeri ini. – Info X