Search

Dua suami pukul isteri dipenjara dua tahun

October 7, 2026

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Dua lelaki masing-masing dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas didapati bersalah mencederakan isteri masing-masing dalam dua kejadian berasingan.

Laemon Pinga, 39, dan John Jamayan, 29, dijatuhi hukuman itu selepas disabitkan atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Mahkamah diberitahu, Laemon melakukan kesalahan itu dengan menumbuk dan mencekik isterinya di Kampung Soniton Ulu, di sini, pada petang 22 Jun lalu.

John pula didapati bersalah memukul isterinya dalam kejadian di Kampung Sungoi Darat, di sini, pada pagi 9 Ogos lalu.

Majistret Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap kedua-dua tertuduh yang berkuat kuasa dari tarikh sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Seanhilary Miting Pakoi.

Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, Seksyen 326A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum apabila kesalahan menyebabkan kecederaan dilakukan terhadap pasangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membendung jenayah keganasan rumah tangga.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah kepada pihak polis. – Info X