TENOM: Permohonan pendakwaan bagi mengambil keterangan secara tertutup menggunakan kamera melibatkan dua saksi seterusnya membabitkan perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew tidak dibenarkan Mahkamah Majistret Tenom hari ini.
Majistret Nur Asyrat Zolhani dalam keputusannya memaklumkan mahkamah berpendapat tiada sebab untuk mahkamah mendengar perbicaraan menerusi kamera seperti di bawah Seksyen 101 Akta Mahkamah Rendah 1948.
Melalui keputusan itu, mahkamah tidak membenarkan keterangan bagi pegawai analisis forensik, Inspektor Yip Chang Ching diambil melalui kamera memandangkan kes itu melibatkan jenayah seksual dan bukti dijangka boleh bersifat bahan lucah.
Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dalam permohonannya meminta mahkamah memberi kebenaran dua saksi pendakwaan aitu pengadu (identiti tidak didedahkan) dan pegawai analisis forensik, Inspektor Yip Chang Ching diambil keterangan menggunakan kamera.
Dalam pada itu, bagi pengadu (identiti tidak didedahkan) dalam kes ini, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada pendekatan memberi keterangan seumpama itu bersesuaian atau sebaliknya.
Terdahulu, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 9.10 pagi dengan menaiki kereta jenis pacuan empat roda Toyota Land Cruiser warna hitam.
Perbicaraan dilakukan dihadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.
Perbicaraan kali ini berlangsung bermula 7 sehingga 10 Februari depan. Prosiding sebelum ini berlangsung selama tiga hari pada 20 hingga 22 Disember tahun lalu.
Ebit berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara Mac hingga Jun 2021.
Ekoran itu, Ebit didakwa dibawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan. – Info X