Search

Guru parah, tiga pelajar cedera kemalangan dua kenderaan

October 8, 2026

Info X Reporters

BELURAN: Seorang guru wanita parah manakala tiga pelajar cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Pamol Sapi Nangoh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, guru berusia 25 tahun berkenaan memandu Perodua Aruz bersama tiga pelajar perempuan sebelum kenderaan mereka terbabit kemalangan dengan Toyota Hilux yang dinaiki empat individu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, NurAzlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.23 tengah hari.

Katanya, lima anggota bersama jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) kemudian digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 104 kilometer dari balai.

“Pasukan tiba di lokasi pada jam 1.58 tengah hari dan mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Perodua Aruz.

“Empat mangsa yang menaiki Toyota Hilux dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan tidak memerlukan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

NurAzlan berkata, empat mangsa dalam Perodua Aruz pula terdiri daripada guru wanita yang mengalami kecederaan parah serta tiga pelajar perempuan yang cedera ringan.

Katanya, semua mangsa yang memerlukan rawatan diberikan rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Nangoh untuk rawatan lanjut.

“Tiada operasi menyelamat dijalankan anggota bomba kerana semua mangsa sudah dikeluarkan orang awam sebelum pasukan tiba.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemantauan dan memastikan keadaan di lokasi selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.07 petang,” katanya. – Info X