KINABATANGAN: Sebuah blok rumah kongsi empat pintu musnah dalam kebakaran di Block AF Melewar Estate Division 1, Paris 3, di sini, pagi tadi.
Tindakan pantas bomba bagaimanapun berjaya menghalang kebakaran daripada merebak ke lima blok rumah kongsi berhampiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Suriyadi Drawis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian kecemasan pada jam 11.35 pagi.
Katanya, pasukan tiba pada jam 12.36 tengah hari dan mendapati blok rumah kongsi jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 80 x 45 kaki itu sudah terbakar sepenuhnya.

“Pasukan menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos reel daripada jentera bomba.
“Tiada pili bomba berhampiran lokasi, namun sumber air terbuka yang terdapat di kawasan berkenaan digunakan bagi membantu operasi pemadaman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Suriyadi berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.40 petang sebelum kerja pemeriksaan dan pemadaman sisa bara dilakukan.
Katanya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dan operasi ditamatkan pada jam 1.43 petang selepas keadaan disahkan selamat. – Info X