BELURAN: Seorang ustazah maut, manakala tiga pelajar cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Pamol-Sapi Nangoh, di sini, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Ustazah Nurafya, 25, yang berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai – Sungai, Beluran.
Difahamkan, Nurafya memandu Perodua Aruz bersama tiga pelajar perempuan dari sekolah berkenaan dan dipercayai dalam perjalanan ke Beluran untuk menghadiri perkhemahan sebelum terbabit kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Tiga pelajar berkenaan mengalami kecederaan ringan, manakala empat individu yang menaiki Toyota Hilux turut dilaporkan cedera ringan.
Identiti kesemua mangsa belum diperolehi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Nur Azlan Shah Jamalludin, berkata bomba tiba di lokasi itu pada jam 1.58 tengah hari.
Katanya, lokasi itu terletak sejauh 104 kilometer (km) dari balai dan tiada penyelamatan dilakukan kerana semua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba.
“Ketika anggota bomba tiba, guru wanita itu cedera parah, manakala tiga lagi pelajar cedera ringan. Semua dihantar ke Klinik Kesihatan Nangoh untuk rawatan lanjut.
“Empat lagi mangsa dalam kereta pacuan empat roda cedera ringan dan tidak memerlukan rawatan,” katanya.
Nur Azlan berkata, operasi ditamatkan pada jam 2.07 petang selepas pemantauan mendapati keadaan di lokasi selamat dan terkawal. – Info X