KOTA MARUDU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memotong kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi dengan niat untuk mencurinya.
Tertuduh, Christoper Paliyu, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memotong kabel pembumian (grounding cable) milik CelcomDigi dengan niat untuk mencurinya di sebuah pencawang di Kampung Sinanggip, Pitas, pada petang 14 September lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan terhadap tertuduh berkuat kuasa dari tarikh sabitan, hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Seanhilary Miting Pakoi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membendung kegiatan mencuri kabel serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah. – Info X