Search

Belanjawan 2027 bukti komitmen kerajaan ringankan beban M40 – Ahmad Zahid

October 9, 2026

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuktikan komitmen kerajaan dalam menangani permasalahan rakyat, termasuk golongan berpendapatan sederhana (M40).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah diumumkan menerusi belanjawan itu dijangka membantu meringankan beban kewangan golongan M40 yang berdepan tekanan akibat komitmen perbelanjaan tinggi.

“Selama ini dari segi lebihan pendapatan itu, dan dari segi kuasa beli, mereka (golongan M40) agak tertekan disebabkan komitmen yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan had pelepasan cukai individu yang tidak disemak sejak 2010 dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000, sekali gus memberi manfaat kepada golongan M40.

Ahmad Zahid turut menyambut baik kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 berkuat kuasa Jun 2027, manakala perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu itu bagi memberi ruang untuk penyesuaian model perniagaan.

“Begitu juga untuk gaji para graduan dan mereka yang berkemahiran diberikan gaji premium, dan ini merupakan satu perubahan yang pada hemat saya sangat disambut baik oleh para graduan dan juga mereka yang berkelulusan kemahiran,” katanya

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata secara keseluruhannya belanjawan itu turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan eksport negara, yang antara lain bergantung kepada pembangunan PMKS dan pengukuhan keupayaan usahawan tempatan.

Beliau berkata perkara itu akan diselaraskan dengan tanggungjawabnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Usahawan untuk mempergiat usaha melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing.

Mengenai peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas peruntukan berjumlah RM12.68 bilion, iaitu peningkatan RM281.08 juta atau 2.27 peratus berbanding RM12.40 bilion tahun ini.

Sehubungan dengan itu, Ahmad Zahid berkata program sedia ada dan inisiatif berimpak tinggi akan diberikan perhatian termasuk program yang memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli.

Dalam aspek Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pula, beliau berkata peruntukan disediakan akan membantu memperkukuh usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri.

“Melalui Majlis TVET kita akan memberikan tumpuan kepada high TVET dan kita memberikan tumpuan kepada soal robotik yang memberikan peluang pekerjaan dan kita akan menambah kursus-kursus bersesuaian untuk meningkatkan kebolehpasaran (graduan),” katanya.

Beliau berkata pembangunan prasarana luar bandar dan pembangunan industri halal akan turut diberi perhatian tahun depan.–BERNAMA