Search

RM7.6 bilion nilai pelaburan sektor pembuatan Sabah pada 2025

October 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah mencatat pelaburan sebanyak RM7.6 bilion dalam sektor pembuatan pada tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pencapaian itu menunjukkan momentum pertumbuhan industri yang kukuh serta keyakinan pelabur terhadap negeri ini.

Beliau berkata, dalam tempoh yang sama, usahawan Sabah turut meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa apabila seramai 124 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah menyertai 18 ekspo perdagangan antarabangsa dan menjana potensi jualan sebanyak RM95.9 juta.

“Kita mahu lebih banyak perniagaan tempatan meningkatkan keupayaan mereka, memanfaatkan teknologi dan inovasi serta mampu bersaing di pasaran serantau dan antarabangsa,” katanya.

Hajiji berkata demikian pada Majlis Malam Persekutuan Industri Sabah (FSI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri tang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus mewujudkan persekitaran yang menyokong pelaburan, inovasi, pembangunan kemahiran dan keusahawanan.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak mampu membangunkan ekonomi Sabah secara bersendirian, manakala sektor industri pula tidak boleh berkembang tanpa kerjasama dengan pihak lain.

“Kerjasama yang erat amat penting. Saya berharap FSI akan terus menjadi suara yang bersatu bagi industri di Sabah serta jambatan penghubung yang berkesan antara kerajaan dengan sektor swasta.

“Kejayaan berterusan FSI juga bergantung kepada penyertaan aktif, idea dan komitmen semua ahlinya,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri berharap dapat terus bekerjasama dengan FSI dan komuniti perniagaan secara keseluruhannya ke arah menjadikan Sabah sebuah negeri yang lebih berdaya saing, berdaya tahan dan makmur.

Ketua Menteri berkata, FSI juga memainkan peranan penting dalam membantu pengilang dan pemain industri menyesuaikan diri dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI), automasi dan pendigitalan.

“Selama lebih empat dekad, FSI telah menyatukan pengilang dan pemain industri, mewakili kepentingan mereka serta menjadi penghubung penting antara kerajaan dengan sektor swasta.

“Ekspo Antarabangsa Sabah (SIE) membuktikan hasil yang mampu dicapai melalui kerjasama ini. Susulan kejayaan penganjuran SIE 2026 pada September lalu, saya mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur FSI dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), dengan sokongan Kerajaan Negeri kerana berjaya menghubungkan perniagaan Sabah dengan pelabur, delegasi perdagangan dan pasaran antarabangsa.

“Tahniah kepada FSI sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-43. Semoga persekutuan ini terus memperkukuh industri di Sabah, mewujudkan peluang kepada ahlinya serta menyumbang kemajuan ekonomi negeri,” katanya. – Info X